Home Pertahanan dan Keselamatan Polis tahan lelaki warga asing, rampas 25 laras senjata riffle tiruan

Polis tahan lelaki warga asing, rampas 25 laras senjata riffle tiruan

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 10 Ogos – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menahan seorang lelaki warga asing dan merampas 25 laras senjata tiruan di Sentul, semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Polis Beh Eng Lai berkata, suspek yang berusia 26 tahun itu telah ditahan pada jam 11.20 pagi ketika sedang memandu kenderaan miliknya.

Jelasnya, hasil pemeriksaan ke atas kenderaan yang dipandu suspek mendapati terdapat pelbagai senjata api tiruan laras panjang yang terkenal dalam kereta tersebut.

“Hasil pemeriksaan ke atas kereta tersebut telah menjumpai pelbagai jenis senjata tiruan di tempat duduk penumpang hadapan dan belakang,

“Sebanyak 25 laras senjata rifle tiruan, 2 pucuk pistol mainan yang tidak berjenama dan 480 butir peluru plastik jenis tidak pasti telah dirampas,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, pada Rabu.

Beliau berkata, sewaktu suspek ditahan, tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui dan dipercayai telah menetap di dalam negara sejak 4 tahun yang lalu.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan suspek telah giat aktif menjalankan aktiviti terbabit sejak Oktober tahun lalu.

Tegasnya, kesemua senjata api tiruan tersebut telah diperolehi dari negara China dan dijual di pasaran tempatan dengan sekitar harga RM50 hingga RM200.

Menurutnya lagi, hasil soal siasat terhadap suspek telah membawa kepada 2 lagi serbuan berasingan di sebuah premis perniagaan di Taman Fadason, Jinjang serta kediaman di Taman Megah, Kepong pada jam 9 malam, hari yang sama.

“Hasil kedua-dua serbuan, polis telah berjaya merampas sebanyak 731 pucuk pistol tiruan pelbagai jenis, 198 laras senapang tiruan pelbagai jenis dan 1,149 laras rifle tiruan pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM318,520,” ujarnya.

Mengulas lanjut berkaitan senjata api tiruan itu, Eng Lai menjelaskan walaupun hanya sekadar mainan dan bukan senjata yang sebenar, ianya tetap salah di sisi undang-undang sekiranya memiliki atau menyimpan.

“Walaupun mainan, ianya kelihatan seperti pistol sebenar malah ada yang diperbuat daripada besi. Jika pistol mainan yang berwarna-warni itu kita tahu, tengok dari jauh pun tahu itu mainan,

“Tetapi pistol ini seperti yang sebenar, menggunakan peluru plastik dan ‘soft gel’ yang boleh mendatangkan kecederaan jika disalahgunakan,” jelasnya.

Suspek telah direman 3 hari bermula Rabu untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply