Home Pertahanan dan Keselamatan Bot seludup PATI Indonesia karam, satu maut 35 terselamat

Bot seludup PATI Indonesia karam, satu maut 35 terselamat

by Air Times News Network

PELABUHAN KLANG, 9 Ogos – Seorang lelaki maut, manakala 35 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia terselamat selepas bot yang naiki karam di kedudukan 23 batu nautika barat Pulau Ketam, Selangor, semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor, Kepten Maritim Siva Kumar Vengadasalam berkata, Pusat Operasi Maritim Selangor menerima maklumat berkaitan penemuan itu daripada ‘Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru pada jam 2.23 pagi.

“Bertindak atas maklumat itu, Bot Perkasa 36 Maritim Negeri Selangor, bot Tentera Laut Diraja Malaysia(TLDM) bersama bot Pasukan Polis Marin (PPM) diatur gerak ke lokasi untuk operasi menyelamat mangsa,

“Hasil pemeriksaan mendapati, sebuah kapal tangki milik swasta MVNCC Najem telah berjaya menyelamatkan 28 lelaki dan tujuh wanita berusia 22 hingga 51 tahun dan dipindahkan ke aset penguatkuasa beserta satu mayat lelaki turut ditemui dalam keadaan terapung oleh kru kapal tangki tersebut,” katanya dalam kenyataan, pada Isnin.

Beliau berkata, kesemua PATI berjaya dipindahkan ekoran bot penyeludup yang dinaiki karam dan cubaan menyeludup masuk ke Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan.

Dalam pada itu, seorang mayat lelaki ditemui oleh kru kapal tangki tersebut dalam keadaan terapung.

“Kesemua PATI di bawa ke Jeti PPM Pulau Indah sebelum dibawa ke Pejabat Maritim Selangor untuk tindakan lanjut, manakala mayat diserahkan kepada polis untuk bedah siasat,” ujarnya.

Siva Kumar menegaskan dan menasihatkan kepada mana-mana individu yang ingin keluar atau masuk ke negara ini perlu melalui jalan yang sah dan diwartakan.

“Sindiket penyeludupan PATI hanya ingin mengaut keuntungan semata-mata tanpa menghiraukan keselamatan nyawa,” jelasnya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply