Home Pertahanan dan Keselamatan KPDNHEP Kelantan rampas 900 liter minyak diesel

KPDNHEP Kelantan rampas 900 liter minyak diesel

by Air Times News Network

TUMPAT, 8 Ogos – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berjaya merampas 900 liter minyak diesel yang cuba diseludup dalam operasi bersepadu membanteras ketirisan barang kawalan di Jalan Kaki Itek Simpangan, kelmarin.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Kelantan, Aswadi Jaafar berkata, rampasan itu hasil kerjasama dengan Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa dan unit kereta peronda polis (MPV) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat.

Katanya, bertindak atas maklumat risikan KPDNHEP Kelantan pada jam 6.30 petang, pasukannya telah mengekori sebuah kenderaan jenis Proton Iswara Aeroback bernombor pendaftaran Malaysia dalam keadaan mencurigakan.

“Kenderaan dipandu suspek dalam keadaan mencurigakan dari kawasan Jalan Peringat melalui Jalan Bunut Susu, seterusnya disyaki menuju ke kawasan Kampung Delima dan menuju ke Tumpat,

“Hasil perkongsian maklumat pasukan operasi bersama telah disalurkan kepada pasukan operasi Bn 8 PGA dan pasukan MPV IPD Tumpat,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Jelasnya, suspek berjaya melarikan diri di dalam semak berhampiran setelah kenderaan yang dinaiki beliau ditahan di kawasan Jalan Kaki Itek Simpangan oleh pihak MPV IPD Tumpat dan PGA dalam keadaan tayar depannya pancit.

“Pasukan telah membuat pemeriksaan pada kenderaan tersebut dan telah menemui 30 tong jerigen anggaran sebanyak 900 liter mengandungi cecair disyaki minyak diesel,

“Nilai rampasan barang kawalan minyak diesel adalah RM1,935 dan kenderaan adalah RM8,000,” ujarnya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply