TAWAU, 8 Ogos – Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (MK ATB 2) berjaya mematahkan cubaan sindiket menyeludup masuk 3,500 karton rokok tidak bercukai ketika rondaan Operasi Benteng Bersama di Lorong Haji Salleh berhampiran Kampung Sri Aman, pada Isnin.
Markas Angkatan Bersama (MK AB) dalam hantaran di media sosialnya berkata, kejayaan ini adalah hasil tindakan pantas Tim QRF setelah mencurigai tindakan 2 lelaki dewasa yang sedang memunggah beberapa buah kotak kedalam sebuah stor sekitar jam 1.30 pagi.
“Menyedari kehadiran Tim QRF di kawasan tersebut, kedua-dua lelaki tersebut bertindak melarikan diri dari lokasi kejadian,
“Hasil pemeriksaan awal terhadap stor tersebut mendapati ia digunakan bagi tujuan transit penyimpanan rokok seludup dari Indonesia ke pasaran Tawau,” katanya.
Mengulas lanjut, Tim QRF telah melaporkan kejadian tersebut kepada Pegawai Bertugas Pusat Operasi Wilayah Bersama (POWB) berpusat di MK ATB 2.
Seterusnya, POWB telah meminta bantuan dari Tim Operasi Cegah Pati (OCP) Daratan Tawau bagi bantuan proses serahan kesemua Rampasan Barang Tanpa Tuan (RBTT) ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau serta membuat laporan polis pada jam 5.30 pagi.
“Nilai keseluruhan rampasan bagi 3,500 karton rokok seludup berjenama Astro Menthol King dianggarkan bernilai RM420,000,
“ATB 2 percaya kegiatan ini turut melibatkan sindiket warga tempatan dan warga asing bagi tujuan perniagaan rokok seludup di pasaran gelap sekitar Tawau,” ujarnya.
Manakala, kesemua barang rampasan RBTT telah diserahkan kepada IPD Tawau pada jam 8.45 pagi untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.
Dalam pada itu, Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, kerjasama erat di antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa berada ditahap yang terbaik melalui pemantauan berterusan dan perkongsian maklumat secara efektif antara agensi keselamatan lain bagi menjamin keselamatan serta kemakmuran perairan pantai timur Sabah.
“ATB 2 juga turut melaksanakan aturgerak operasi dengan pelbagai kaedah seperti menggabungkan semua aset serta elemen pengawasan secara terkoordinasi, bagi memastikan perairan pantai timur Sabah sentiasa diawasi sebilang masa oleh pasukan beroperasi serta membuktikan relevansi, fungsi dan peranan ATB 2 dalam menjamin keselamatan negara,
“Melalui pelaksanaan Op Pasir dan Op Benteng Bersama di bawah kawalan operasi ATB 2 yang dilaksanakan secara berterusan, beliau menjamin keselamatan kawasan tangggungjawab sentiasa terpelihara serta tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti pencerobohan atau penyeludupan serta ancaman keselamatan demi menjaga kedaulatan dan kemakmuran negara, khasnya di pantai timur Sabah,” jelasnya. – airtimes.my