Home Pertahanan dan Keselamatan APMM tahan bot nelayan langgar syarat sah lesen tangkap ikan

APMM tahan bot nelayan langgar syarat sah lesen tangkap ikan

by Air Times News Network

PELABUHAN KLANG, 7 Ogos – Agensi Penguatkuasaan Marintim Malaysia (APMM) berjaya menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas B1 langgar syarat sah lesen menangkap ikan di kedudukan 3.2 batu nautika perairan Jeram, semalam.

Pengarah Maritim Negeri, Kepten Maritim Siva Kumar Vengadasalam berkata, radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Maritim Malaysia di Area Command Centre (ACC) Klang berjaya mengesan aktiviti tarik tepi pada jam 8.45 malam.

“Bot ronda Maritim Negeri Selangor telah diaturgerakkan ke lokasi berkenaan serta berjaya menahan bot tersebut bersama 3 orang lelaki warga tempatan berumur antara 35 hingga 38 tahun termasuk tekong,

“Kesemua tahanan serta rampasan ikan campur dianggarkan seberat 50 kilogram telah dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah bagi diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM untuk siasatan lanjut,” jelas beliau.

Menurutnya, penguatkuasaan undang-undang di kawasan perairan Malaysia akan terus dipergiatkan bagi membanteras kesalahan seperti ini daripada berulang.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen dengan melakukan aktiviti menangkap ikan kurang dari jarak yang dibenarkan,” ujarnya.

Jelasnya lagi, nelayan di Selangor dinasihatkan agar sentiasa mematuhi peraturan perikanan serta kegiatan yang menyalahi undang-undang boleh dilaporkan terus kepada talian Pusat Operasi (PUSOP) Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau 999. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply