Home Pertahanan dan Keselamatan Eksesais MALPAK tingkat kebolehoperasian bersama tentera laut Malaysia-Pakistan

Eksesais MALPAK tingkat kebolehoperasian bersama tentera laut Malaysia-Pakistan

by Air Times News Network

LUMUT, 6 Ogos – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Laut Pakistan (TLP) meneruskan kerjasama pertahanan melalui Eksesais Malaysia-Pakistan (MALPAK) siri 4/2022 di sekitar perairan Selat Melaka, semalam.

Bahagian Komunikasi Strategik, Markas Pemerintahan Armada Barat dalam kenyataan berkata, eksesais ini memfokuskan kepada peningkatan kesefahaman serta kebolehoperasian bersama kedua-dua angkatan laut.

“Eksesais MALPAK kali ini melibatkan Kapal Diraja (KD) JEBAT dan PNS TAIMUR,” katanya.

Terdahulu, PNS TAIMUR, kapal terbaru armada TLP telah tiba di Tambatan Pangkalan Lumut pada 2 Ogos 2022 untuk Lawatan Operasi.

“Kapal frigate kelas TUGHRIL ini merupakan kapal kedua selepas PNS TUGHRIL,” ujarnya.

Menurutnya, kedua-dua angkatan laut telah mempamerkan kesefahaman serta kebolehoperasian yang jitu sepanjang eksesais berlangsung.

“Semua objektif eksesais telah direalisasikan melalui beberapa siri evolusi Peperangan Asimetrik dan Konvensional,

“Selain itu, perkongsian kepakaran serta ilmu turut diberi penekanan dengan pelaksanaan Personnel Exchange Programme warga kapal KD JEBAT dan PNS TAIMUR,” jelasnya.

Turut menjayakan eksesais ini adalah Fast Combat Boat dan pesawat Fennec TLDM.

Mengulas lanjut, TLDM berkata, pelancaran pelaksanaan eksesais ini jelas mempamerkan tahap profesionalisme yang tinggi serta keupayaan dan ketersediaan warga kedua-dua angkatan laut dalam melaksanakan operasi bersama.

“Selain komited terhadap keselamatan maritim negara, TLDM akan terus memanfaatkan setiap peluang beroperasi bersama angkatan laut negara sahabat,

“Pengoperasian ini adalah bagi memperkasakan diplomasi pertahanan serta antarabangsa bagi membuktikan kredibiliti, kewibawaan dan kecemerlangan TLDM di peringkat global,” katanya lagi. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply