Home Pertahanan dan Keselamatan Polis rampas RM1.2 juta rokok seludup, kenderaan di Kluang

Polis rampas RM1.2 juta rokok seludup, kenderaan di Kluang

by Air Times News Network

KLUANG, 3 Ogos – Polis Johor berjaya menumpaskan sindiket pengedaran serta merampas sebanyak 800 ribu rokok putih semasa dalam serbuan di sebuah ladang sawit di Kluang, pada Isnin.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Maman berkata, pihaknya bersama anggota dari Batalion ke 5 Pasukan Gerakan Am (PGA 5) Simpang Renggam telah menahan seorang lelaki berusia 26 tahun ketika serbuan pada jam 12 tengah hari itu.

“Polis turut merampas 3 buah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan hasil pemeriksaan berjaya menemui 80 bungkusan berwarna coklat dibahagian belakang kereta berkenaan,

“Modus operandi yang dilakukan oleh sindiket terbabit adalah mencari lokasi yang sunyi bagi memunggah rokok berkenaan sebelum dipasarkan ke kedai runcit sekitar Daerah Kluang,” jelas beliau.

Menurutnya, sindiket berkenaan dipercayai bergiat aktif sejak 2 bulan lalu dan harga rokok berkenaan dijual sekitar RM17 tetapi dipasarkan lebih murah kira-kira RM7.

“Nilai kesemua rampasan rokok dianggarkan berjumlah RM400 ribu manakala nilai cukai sebanyak RM568,000, dan tiga buah kenderaan adalah sebanyak RM240,000,

“Semua barang yang telah dirampas telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967,” ujarnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply