Home Pertahanan dan Keselamatan Pindaan RUU Akta LTAT lulus, lindungi pencarum antara 4 fokus penambahbaikan

Pindaan RUU Akta LTAT lulus, lindungi pencarum antara 4 fokus penambahbaikan

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 2 Ogos – Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Tabung Angkatan Tentera (Pindaan) 2022 di Parlimen, pada Isnin.

RUU berkenaan yang dibentangkan Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz, diluluskan selepas 15 Ahli Parlimen berbahas, semalam.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam hantaran di media sosialnya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mengambil bahagian dalam perbahasan dan menyokong pindaan tersebut.

“Syukur Alhamdulillah, RUU Akta LTAT diluluskan Ahli Dewan Rakyat petang ini (semalam),

“Terima kasih kepada semua pihak yang mengambil bahagian dalam perbahasan dan menyokong pindaan ini sekaligus mencerminkan keprihatinan terhadap kebajikan pencarum yang juga anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang sedang berkhidmat,” katanya.

Menurut Hishammuddin, pindaan ini membolehkan penambahbaikan dibuat terhadap 4 perkara iaitu melindungi pencarum yang mana tabung persaraan diuruskan di LTAT kini akan dijamin sepenuhnya oleh kerajaan.

“Perlindungan keselamatan sosial iaitu pencarum dibenarkan mencarum tanpa had; diberi fleksibiliti pengeluaran; dan boleh memilih untuk kekalkan caruman apabila tamat perkhidmatan,

“Memperkukuhkan tadbir urus korporat dengan menambah lebih ramai pakar berpengalaman dan berkebolehan bagi memastikan pelaburan LTAT terus membawa pulangan tinggi,

“Membolehkan kadar dividen LTAT terus berdaya saing dan berada tahap mampan serupa dengan dana persaraan yang lain,” ujarnya.

RUU mengandungi 12 Fasal itu antara lain bertujuan meminda Akta Tabung Angkatan Tentera 1973 (Akta 101) bagi memperluaskan skop pelaburan LTAT dan memberi kuasa kepada Lembaga untuk memperbadankan syarikat sebagai tambahan kepada kuasa sedia ada bagi menubuhkan perbadanan.

Seterusnya RUU LTAT (Pindaan) 2022 ini akan dibawa ke Dewan Negara untuk diluluskan sebelum dimohon perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk menjadi sebahagian daripada RUU Negara.

“Tahniah Kementerian Pertahanan Malaysia, LTAT dan semua pihak terlibat menjayakan usaha penambahbaikan ini demi kepentingan para pencarum,” jelas Hishamuddin. – airtimes.my

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply