KUALA LUMPUR, 8 Jul – Hasil risikan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur telah berjaya membuat serbuan ke atas sebuah premis pusat hiburan yang menyediakan perkhidmatan pelayan pelanggan (GRO) di sekitar Jalan Sultan Ismail pada Rabu lalu.
Ketua Pengarah JIM, Datuk Seri Khairul Dzaimee berkata, pusat hiburan berkenaan telah diserbu oleh anggota dari Unit Operasi Bahagian Operasi, Siasatan dan Pendakwaan Ibu Pejabat JIM Putrajaya pada jam 11.30 malam.
“Semasa pemeriksaan dijalankan terdapat cubaan melarikan diri, provokasi dari GRO serta pelanggan namun keadaan dapat dikawal dan tiada insiden tidak diingini berlaku,” jelasnya.
Menurutnya, premis itu menawarkan khidmat GRO warga asing dengan bayaran bermula dari RM100 hingga RM1 ribu dan dipercayai baru beroperasi pada 5 Julai 2022.
“Pembelian pelanggan boleh dibuat dengan membeli selempang bersama tanda harga tersebut dengan menyarungkannya pada GRO yang ingin dipilih,
“Hasil serbuan dijalankan seramai 166 warga asing telah ditahan terdiri dari 9 lelaki dan 133 wanita warga Thailand, seorang lelaki dan 12 wanita Vietnam, 2 wanita Laos, 6 lelaki Bangladesh serta 3 wanita Indonesia,” ujarnya.
Beliau berkata, kesemua yang ditahan didapati tiada dokumen pengenalan diri serta tinggal lebih masa.
“Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” jelasnya. -airtimes.my