Home Pertahanan dan Keselamatan Angkatan Tentera Malaysia gempur Lapang Sasar Asahan

Angkatan Tentera Malaysia gempur Lapang Sasar Asahan

by Nurulhuda

GEMAS, 21 Jun – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sekali lagi mempamerkan keupayaan ketumbukan Combine Arms menerusi Latihan Kuasa Tembakan (LKT) Tahun 2022 yang diadakan di Lapang Sasar Asahan, Kem Syed Sirajuddin, hari ini.

Demonstarsi yang berlangsung hampir 2 jam ini telah disaksikan oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussien; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM dan Panglima-panglima perkhidmatan.

Turut hadir menyaksikan acara ini ialah anakanda kepada Yang di-Pertuan Agong, Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Hishammuddin dalam kenyataan berkata, latihan ini melibatkan 2,300 pegawai dan anggota daripada pelbagai kepakaran serta 644 jenis kenderaan tempur, kenderaan sokongan dan sistem persenjataan termasuk PT 91M PENDEKAR, AV8 Gempita, AV 4 Lipan Bara, ACV 300 Adnan serta Malaysian Infantry Fighting Vehicle (MIFV).

Menurutnya, segmen tembakan langsung LKT iaitu segmen dinamik telah memaparkan pelaksanaan maneuver serta kuasa tembakan yang melibatkan aset Infantri, Mekanize, Armor, Artileri, Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) termasuk pesawat udara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“Manakala aset persenjataan pula merangkumi persenjataan kecil hingga ke meriam berkaliber besar dan roket seperti Unit Lancar Berganda (ULB) Astros II, Meriam 155 MM G5 MK III, Meriam 105 MM PH L5, Anti-Tank Guided Missile (ATGM) INGWE, BAKTAR SHIKAN, Mortar 120MM dan 81MM serta Rocket-Propelled Grenade (RPG-7 40MM),

“Turut terlibat ialah helikopter dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM iaitu Helikopter Super Lynx dan AS555 Fennec dari TLDM, Helikopter EC 725 dari TUDM serta Helikopter Agusta A109 LOH dan MD530G dari PUTD,” jelasnya.

Selain itu beliau berkata, keupayaan Tactical Display Air Support (CAS) bagi pesawat TUDM dalam latihan ini akan dipertontonkan kepada para penuntut Maktab Turut Angkatan Tentera (MTAT) yang melibatkan aset-aset pesawat pejuang iaitu FA 18 D Hornet dan BAE Hawk 208.

LKT tahun 2022 bukan sahaja acara tahunan bagi Tentera Darat Malaysia (TDM), malah ia merupakan pendekatan yang selari dengan perancangan Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan ATM di bawah Pelan Strategik MINDEF 2022 serta Kertas Putih Pertahanan.

Tambahnya, latihan ini adalah bagi memastikan kesiagaan ATM terus berada pada tahap tahap tertinggi demi mempertahankan kedaulatan negara.

“LKT ini juga merupakan salah satu daripada pelbagai usaha berterusan yang MINDEF dan ATM laksanakan khususnya sejak beberapa bulan lalu,

“Dengan matlamat, memastikan ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM terus dilengkapi aset-aset yang mereka perlukan biarpun mendepani era pasca pandemik yang serba mencabar ini,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, Hishammuddin menjelaskan, latihan ini bukan sahaja penting bagi menguji pengurusan pasukan serta keupayaan dan kompetensi anggota dalam melaksanakan latihan tembakan peluru hidup.

“Malah, ia juga medan terbaik untuk memperagakan keupayaan anggota TDM dalam mengendalikan platform kenderaan dan persenjataan yang sophisticated serta terkini secara profesional sebagaimana latihan yang diberikan,” tambahnya. -airtimes.my

Galeri gambar:

Related Articles

Leave a Reply