Home Pertahanan dan Keselamatan Ayob nafi dakwa pegawai, anggota polis terlibat sindiket dadah

Ayob nafi dakwa pegawai, anggota polis terlibat sindiket dadah

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 14 Jun – Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menafikan laporan yang mendakwa beliau pernah mengeluarkan kenyataan mengatakan ramai pegawai polis terbabit dalam sindiket pengedaran dadah.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya bahawa kenyataan tersebut dikeluarkan oleh saya kepada Telegram Edisi Siasat,” jelasnya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, laporan itu adalah rekaan semata-mata yang berniat jahat untuk menjejaskan kredibiliti pucuk pimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan imej PDRM secara keseluruhannya.

“Ianya cuba memberi gambaran bahawa rasuah berleluasa dalam PDRM,

“Saya menafikan sekeras-kerasnya bahawa pegawai PDRM yang lain bersekongkol dengan sindiket dadah,

“Sekiranya terdapat bukti yang kukuh mana-mana pegawai atau anggota PDRM bersekongkol dengan sindiket pengedaran dadah, PDRM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang tegas,” jelasnya.

Ayob turut menjelaskan, semua kejayaan yang dicapai oleh PDRM adalah hasil kerjasama mantap semua jabatan dalam PDRM bersama jabatan dan agensi luar.

“Ia bukan kejayaan individu, masyarakat diingatkan supaya tidak mudah percaya dan terpengaruh dengan sebarang kenyataan yang tidak berasas dan tidak ditentukan kesahihannya.

“Tindakan berkongsi atau menyebarkan kenyataan sedemikian akan menimbulkan keresahan dan kebimbangan masyarakat,” ujarnya.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply