KOTA TINGGI, 27 Mei – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah menahan sebuah kapal tangki dari Vietnam yang bersauh tanpa kebenaran di timur laut, Tanjung Kelisa, semalam.
Timbalan Pengarah (Operasi) Zon APMM Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib Sam berkata, penahanan telah dilakukan pada jam 3.20 petang oleh sebuah bot ronda APMM yang melaksanakan rondaan di perairan Johor.
“Hasil pemeriksaan mendapati kapal tersebut dikendalikan oleh 24 kru lelaki warga asing termasuk nakhoda,
“Dalam jumlah tersebut seramai 19 orang warga Vietnam dan 5 daripadanya warga Myanmar,
“Kesemua kru berumur diantara 22 hingga 55 tahun serta mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, pemeriksaan dilakukan ke atas kapal mendapati nakhoda gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran untuk bersauh daripada Pengarah Laut Malaysia.
“Kapal yang ditahan dan nakhoda bersama seorang kru telah dibawa ke pejabat APMM Tanjung Sedili untuk tindakan lanjut,
“Kes disiasat dibawah seksyen 419B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952,” jelasnya. – airtimes.my
