Home Pertahanan dan Keselamatan PGA rampas 183 kotak ayam sejuk beku seludup bernilai RM30,240 di Kelantan

PGA rampas 183 kotak ayam sejuk beku seludup bernilai RM30,240 di Kelantan

by Air Times News Network

PASIR MAS – Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Terengganu berjaya mematahkan cubaan seludup masuk 183 kotak ayam sejuk beku bernilai RM30,240 dalam 2 serbuan berasingan di sekitar daerah Pasir Mas, pada Rabu.

Pegawai Pemerintah Medan Batalion 9 PGA, Deputi Superintendan Ismail Sidek berkata, serbuan pertama pada jam 2.30 pagi itu berjaya menemukan sebanyak 90 kotak ayam sejuk beku di dalam kenderaan suspek yang dibawa masuk melalui jalan tidak sah di Kampung Gebeng.

“Semasa melakukan rondaan rutin menerusi Op Wawasan Kelantan, anggota bertugas terserempak dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Unser yang dipandu suspek dalam keadaan mencurigakan,

“Suspek berlari meninggalkan kenderaan ke dalam semak apabila terkejut melihat kehadiran anggota PGA,” katanya dalam satu kenyataan pada hari ini.

Ismail berkata, hasil pemeriksaan ke atas kenderaan berjaya menemui kotak-kotak yang mengandungi barangan tersebut.

Menurutnya, kesemua barangan tersebut yang dibawa masuk dari negara jiran adalah untuk pasaran tempatan.

Dalam pada itu, serbuan kedua di Salor, PGA telah merampas sebanyak 93 kotak ayam sejuk beku bernilai RM16,740.

“Rampasan dilakukan, sejurus pihak kami melakukan pemeriksaan ke atas kenderaan yang ditinggalkan dalam keadaan mencurigakan di kawasan tersebut,

“Kes tersebut diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, kedua-dua kes tersebut disiasat bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply