Home Pertahanan dan Keselamatan Bapa bawa anak perempuan edar dadah, elak dicekup polis

Bapa bawa anak perempuan edar dadah, elak dicekup polis

by Air Times News Network

KOTA BHARU, 18 Mei – Tindakan seorang bapa yang tergamak membawa anaknya bagi urusan pengedaran dadah bagi mengaburi mata pihak berkuasa akhirnya terbongkar apabila ditahan bersama 48,000 biji pil kuda di hadapan pasar raya di Kuala Krai, Ahad lalu.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, suspek merupakan warga Thailand berusia 28 tahun itu ditahan sepasukan anggota serta pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Kuala Krai pada jam 5.30 petang ketika membawa anak perempuannya yang berumur 5 tahun.

“Suspek ketika itu dilihat dalam keadaan mencurigakan sedang berdiri bersebelahan kenderaan jenis Toyota Avanza miliknya yang berwarna hitam di tempat letak kereta pasar raya tersebut,

“Serbuan dilakukan dan pemeriksaan di dalam kereta menemukan satu beg ‘tote’ berisi 8 bungkusan berwarna kekuningan yang mengandungi pil kuda tersebut yang dianggarkan bernilai RM480,000,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), pada Selasa.

Beliau turut menjelaskan, suspek dipercayai merupakan ahli sindiket di Thailand dan mempunyai rangkaian di negara jiran bagi tujuan menyeludup masuk bekalan dadah untuk pasaran di sekitar Bachok, Kelantan.

Tambahnya lagi, suspek tidak bekerja serta tidak mempunyai rekod lampau telah ditahan reman selama seminggu bermula Isnin lalu hingga Ahad ini untuk siasatan lanjut.

“Turut dirampas wang tunai berjumlah RM440 dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mati mandatori jika sabit kesalahan,” ujarnya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply