Home Pertahanan dan Keselamatan Veteran ATM terus dibela, 5 teras utama diperkasa – PVATM

Veteran ATM terus dibela, 5 teras utama diperkasa – PVATM

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 22 Apr – Persatuan Veteran ATM (PVATM) telah menetapkan 5 hala tuju atau teras perjuangan demi menghargai perjuangan dan pengorbanan warga veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Presiden PVATM, Kapten Datuk Sharuddin Omar (Bersara) menjelaskan, teras tersebut meliputi pelarasan pencen veteran ATM, elaun sara hidup kepada veteran tidak berpencen, Lembaga Pengampunan untuk bekas tentera, menambah baik pencen terbitan kepada balu veteran dan elaun kenangan Pingat Jasa Malaysia (PJM).

Beliau mengumumkan perkara tersebut bersempena Sambutan Ulang Tahun ke-100 tahun PVATM dengan ‘100 Tahun Veteran: Maruah dan Pengorbanan diangkat sebagai tema sambutan pada tahun ini.

Menurutnya, 10 aktiviti utama sambutan ulang tahun turut diadakan iaitu 5 aktiviti di peringkat Pusat dan 5 aktiviti di peringkat negeri.

“Pelbagai aktiviti akan dilaksanakan termasuklah Acara Perbarisan Ulang Tahun ke 100 Tahun dan majlis tahlil serta doa selamat,

“Selain itu, turut diadakan acara larian veteran 100 tahun yang dijadualkan pada 31 Julai 2022 disekitar Kuala Lumpur dan pertandingan golf Sumbangsih pada September atau Oktober ini,” katanya selepas Majlis Pelancaran Logo Sambutan Ulang Tahun Ke-100 tahun di Ibu Pejabat PVATM, Wisma Pahlawan, pada Jumaat.

Dalam masa yang sama, beliau turut menyeru agar semua warga veteran untuk menghayati tarikh bersejarah ini, serta menghargai jasa-jasa veteran terdahulu.

“Titik bersejarah ini juga perlu diterapkan kepada generasi muda supaya mereka dapat menghayati sejarah pengorbanan oleh pejuang negara yang terdahulu daripada kita,” jelasnya.

Tambahnya, masyarakat umum diingatkan agar terus menzahirkan penghormatan kepada warga veteran yang pernah berjasa kepada negara sebelum dan selepas merdeka kerana segala keamanan serta kemakmuran yang sedang dikecapi negara di masa kini, bukan datang secara bergolek.

PVATM) sebuah NGO yang tertua di Malaysia ditubuhkan pada 20 Mei 1922 dengan nama Ex Services Association of Malaya (ESAM) oleh bekas Tentera British di Malaya selepas Peperangan Dunia Pertama (WWI). Presiden yang pertama adalah Wing Commander (Rtd) Frederick William Palmer (1922 – 1927).

Pada tahun 1966, selepas kemerdekaan nama persatuan telah ditukar kepada Persatuan Bekas Perajurit Malaysia (PBPM). Nama Persatuan sekali lagi ditukar kepada Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) pada tahun 1998.

Akhir sekali pada tahun 2014, nama persatuan ditukarkan kepada nama yang ada sekarang iaitu Persatuan Veteran ATM (PVATM) atau dalam Bahasa Inggerisnya disebut Veterans Association of Malaysian Armed Forces (VAMAF).

Perubahan nama Veteran adalah sejajar dengan peraturan terkini susulan kewujudan Akta Veteran 2012 (Akta 740). -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply