Home Pertahanan dan Keselamatan Rokok seludup bernilai hampir RM4 juta dirampas

Rokok seludup bernilai hampir RM4 juta dirampas

by Nurulhuda

Kota Bharu, 18 Apr – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas lebih 5.83 juta batang rokok seludup yang dianggarkan bernilai RM4.5 juta termasuk cukai dalam 3 operasi berasingan.

Pengarah Kastam Negeri Kelantan, Mohd Nasir Deraman berkata, rampasan tersebut dilakukan serbuan yang dilakukan di daerah Kota Bharu, Pasir Mas dan Bachok dengan rampasan 583 peti.

Menurutnya, rampasan pertama dilakukan pada 28 Mac lalu di sebuah rumah teres di Jalan Pasir Pekan, Pasir Mas, pada jam 2.30 petang yang menemui 265 peti mengandungi pelbagai jenis rokok putih dan kretek dianggarkan bernilai RM1,786,291 termasuk duti serta cukai.

“Serbuan kedua pada 10 April lalu oleh penguat kuasa Kota Bharu yang berjaya mematahkan cubaan menyeludup rokok seludup dengan merampas 148 peti mengandungi 1.5 juta batang rokok seludup di Kampung Keluat, Tanjung Pauh, Bachok,

“Rampasan terbaru pula dibuat pada Khamis lalu, jam 5.45 petang yang menemui 170 peti yang mengandungi 1.7 juta batang rokok seludup di Kampung Pantai Mek Mas, di sini,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mohd Nasir berkata, modus operandi yang digunakan penyeludup adalah membawa masuk rokok putih melalui sempadan di Sungai Golok sebelum diedarkan kepada pelanggan tempatan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam 1967.

“Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak kurang daripada 10 kali nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih daripada 20 kali nilai barang,

“Mereka juga akan didenda RM500,000 yang mana lebih besar atau dipenjarakan tidak kurang dari 6 bulan dan tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama,” tambahnya.

Dalam masa yang sama, Mohd Nasir turut menggesa orang ramai untuk membantu pihaknya memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti terbabit.

“Kami menyeru kepada orang awam memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri malah kami memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat dirahsiakan,” jelasnya. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply