Home Pertahanan dan Keselamatan PGA cekup tekong darat seludup 10 PATI dalam bonet kereta

PGA cekup tekong darat seludup 10 PATI dalam bonet kereta

by Air Times News Network

PASIR MAS, 5 April – Seorang tekong darat berjaya ditahan sepasukan anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) apabila disyaki cuba menyeludup masuk 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) dengan menggunakan kereta Proton Waja di Jalan Pintasan Pasir Mas, Kampung Jeram Perdah, jam 3 pagi semalam.

Pegawai Pemerintah PGA 7, Suprintendan Azhari Nusi berkata, kesemua PATI yang ditahan terdiri daripada 9 lelaki dan seorang wanita warga Myanmar yang disumbat dibahagian penumpang serta bonet kereta.

“Ketika kejadian anggota yang bertugas sedang membuat rondaan sebelum terserempak dengan kenderaan terbabit dalam keadaan mencurigakan,

“Anggota kemudian menahan kereta terbabit dan memperkenalkan diri sebagai pihak berkuasa sebelum meminta pemandu yang juga seorang lelaki warga tempatan berusia 55 tahun, mengemukakan kad pengenalan diri,” katanya.

Azhari berkata, pihaknya menemui sekumpulan warga Myanmar yang berhimpit di bahagian tempat duduk penumpang serta di dalam bonet.

Tambahnya lagi, hasil pemeriksaan dan soal siasat, kesemua PATI tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah.

Beliau berkata, kesemua PATI dan pemandu yang disyaki sebagai tekong ditahan, manakala kenderaan yang dirampas dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas bagi tujuan siasatan lanjut.

“Susulan daripada kes berkenaan, pada jam 4 pagi, hari yang sama, anggota menyerbu sebuah kediaman Kampung Jeram Perdah, dan menahan seorang lelaki warga tempatan disyaki turut menjadi dalang penyeludupan PATI,

“Pihaknya turut menemui sebiji pil kuda di dalam kereta Toyota Vios milik suspek berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM), Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Siasatan lanjut mendapati 2 suspek warga tempatan itu disyaki berperanan sebagai ‘transporter’ dengan mengenakan upah sebanyak RM400 bagi setiap PATI yang dibawa ke Kuala Lumpur bagi tujuan mendapatkan pekerjaan,

“Penyeludup juga didapati menggunakan modus operandi dengan membawa masuk PATI melalui jalan sungai pada waktu awal pagi atau tengah malam kerana menyangka ia selamat daripada pihak berkuasa,” ujarnya.

Related Articles

Leave a Reply