Home Pertahanan dan Keselamatan PGA berkas 2 transporter, 14 PATI di Morib

PGA berkas 2 transporter, 14 PATI di Morib

by Air Times News Network

SEMENYIH, 28 Mac – Hasrat 2 lelaki tempatan ingin membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) musnah apabila ditahan sepasukan anggota dari Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih dalam rondaan Operasi Nyah 1 (Op Nyah), semalam.

Pegawai Memerintah Batalion 4 PGA Semenyih, Suprintendan Rizal Mohamed berkata, kedua-dua suspek yang berumur 28 dan 38 tahun itu telah ditahan pada jam 12.30 tengahari bersama 2 buah kenderaan di Jalan Banting – Sepang, Morib, Selangor.

“Hasil siasatan lanjut, kedua-dua suspek mengaku bertindak sebagai transporter bagi membawa PATI.

“Hasil pemeriksaan di tempat kejadian, pihak polis telah menjumpai dan menahan seramai 11 lelaki warga asing berumur 23 hingga 41 tahun serta 3 perempuan warga asing berumur 23 hingga 55 tahun yang sedang bersembunyi di kawasan semak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rizal berkata, kesemua PATI yang ditahan gagal menunjukkan sebarang dokumen perjalanan yang sah dan masuk ke negara ini melalui jalan yang tidak diwartakan iaitu jalan laut dengan menggunakan bot.

Tambahnya lagi, kesemua tangkapan dan rampasan telah dibawa ke IPD Kuala Langat, Banting untuk tindakan lanjut di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan Akta Imigresen 1963.

“Turut dirampas, 2 buah kenderaan dan 2 buah telefon bimbit bernilai RM44,100,

“Kesemua tangkapan akan menjalani ujian saringan COVID-19 bagi mencegah penularan virus di kalangan pesalah dan juga Petugas PDRM,” ujarnya – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply