IPOH, 24 Mac – Polis Perak berjaya menahan seramai 8 suspek serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM4.5 juta dalam beberapa serbuan berasingan di sekitar Perak, Isnin lalu.
Ketua Polis Perak, Komisioner Polis Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kesemua suspek berusia 32 hingga 37 tahun ditahan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Perak bermula jam 11.10 pagi hingga 5.30 petang.
“8 suspek itu dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah dan ada yang ditahan di rumah, di luar serta dalam kereta,
“Saringan ujian air kencing mendapati keputusan mereka negatif, namun semakan rekod jenayah mengesahkan 5 daripadanya mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah,” katanya pada sidang media di Perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak hari ini.
Mior Faridalathrash berkata, selain 123.8 kilogram (kg) syabu, turut dirampas ialah 105 gram (g) heroin dan 150 paket ketamin, yang mampu untuk menampung penggunaan seramai 620,025 penagih.
Tambahnya lagi, modus operandi sindiket dengan membawa masuk bekalan dari Pantai Timur untuk pasaran tempatan sekitar Perak serta dipercayai telah aktif sejak pertengahan tahun lalu.
“Kita akan terus berusaha untuk mengesan saki baki sindiket terbabit dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, suspek kini direman 7 hari bermula Selasa lalu bagi membantu siasatan.
“Tindakan juga diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, di mana JSJN menyita pelbagai aset sindiket yang dianggarkan bernilai RM212,712 membabitkan wang tunai, barang kemas dan pelbagai jenis kenderaan,” ujarnya. – airtimes.my