Home Pertahanan dan Keselamatan Latihan bilateral tentera Malaysia-Singapura uji tahap kecekapan dalam peperangan konvesional

Latihan bilateral tentera Malaysia-Singapura uji tahap kecekapan dalam peperangan konvesional

by Air Times News Network

ULU TEBRAU, 24 Mac – Latihan bilateral Tentera Darat Malaysia dan Singapura telah menguji tahap kecekapan dan pengetahuan anggota kedua-dua negara dalam peperangan konvensional yang berkonsepkan ‘Operasi Ofensif’.

Jalinan semangat setia kawan di antara Malaysia dan Singapura berjaya dizahirkan menerusi Eksesais Semangat Bersatu Siri 26/2022 apabila secara rasmi telah melabuhkan tirainya, hari ini.

Tentera Darat Malaysia (TDM) menerusi laman media sosialnya berkata, eksesais yang bermula pada 18 Mac lalu telah dilaksanakan dalam 2 fasa peperangan konvensional telah diadakan di Kawasan Am Felda Ulu Tebrau.

“Senario pelaksanaan serangan telah dilaksanakan untuk menguji tahap kecekapan dan pengetahuan setiap peserta eksesais dari kedua-dua negara,

“Eksesais ini diadakan secara tahunan melibatkan kedua-dua negara antara TDM dan Tentera Darat Singapura (TDS),” kata hantaran itu.

Jelas hantaran itu, penglibatan TDM menerusi Batalion Keenam Rejimen Renjer Diraja (6 RRD), Batalion Kelima Rejimen Askar Melayu Diraja (5 RAMD), 10 RAMD, Rejimen 501 Askar Wataniah (Rej 501 AW) dan Trup Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (Trup 3 Div).

“Manakala, TDS disertai oleh pegawai dan anggota dari 1st Batalion Singapore Guard (1 GDS),” jelasnya.

Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain bersama rakan sejawatnya, Brigedier Jeneral Neo Chin Wee turut hadir menyaksikan demonstrasi serangan akhir batalion yang diadakan di kawasan latihan.

Zamrose dalam ucapannya turut menjelaskan bahawa, latihan ini bertujuan menguji fungsi pasukan infantri dengan penglibatan elemen tempur dan bantuan tempur dalam menangani sebarang ancaman.

“Kerjasama hubungan ketenteraan sebegini diharap dapat melahirkan pegawai dan anggota agar mempunyai kompetensi yang tinggi serta mampu melaksanakan operasi ofensif secara integrated,

“Di samping itu, ianya dapat mengukuhkan hubungan dan meningkatkan kerjasama ketenteraan dengan berkongsi pengetahuan, teknologi, peralatan dan kepakaran,” ujarnya lagi.

Tambah hantaran itu, acara menanggalkan toha telah disempurnakan oleh Panglima TDS sebagai simbolik mengakhiri perbarisan penutup eksesais. – airtimes.my

Galeri Gambar:

Related Articles

Leave a Reply