KUCHING, 24 Mac – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menahan 2 bot warga Vietnam dalam 2 penahanan berasingan di perairan negara pada jarak lebih kurang 120 batu nautika dari tenggara Tanjung Sirik, pada Isnin lalu.
Pengarah APMM Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, bot tersebut ditahan kerana menceroboh dan melakukan aktiviti menangkap ikan tanpa kebenaran.
“Tangkapan pertama berjaya ditahan pada jam 06.30 pagi setelah hampir 4 jam memintas dan akhirnya berjaya dihimpit rapat di perairan Beting Patinggi Ali,
“Bot kedua dikesan pada jam 11.30 pagi dan mengambil masa selama 1 jam untuk memintas bot tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut tidak memiliki sebarang dokumen serta lesen dari Ketua Pengarah Perikanan Malaysia untuk melakukan sebarang aktiviti perikanan di perairan negara.