Home Pertahanan dan Keselamatan PGA cekup 12 PATI bersembunyi di kawasan paya bakau

PGA cekup 12 PATI bersembunyi di kawasan paya bakau

by Nurulhuda

KUALA SELANGOR, 22 Mac – Tindakan 12 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menceroboh masuk sempadan negara dengan bersembunyi di kawasan paya bakau gagal, apabila ditahan oleh anggota Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) di berhampiran Jeti Nelayan Assam Jawa, pada Isnin.

Pegawai Pemerintah Batalion 4, PGA, Superintendan Rizal Mohamed berkata, kesemua 9 orang lelaki dan 3 wanita berumur dalam lingkungan 25 hingga 57 tahun itu ditahan pada jam 6.45 pagi.

“Pemeriksaan mendapati kesemua individu berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah dan dipercayai baru masuk ke negara ini melalui laluan yang tidak diwartakan iaitu jalan laut dengan menggunakan bot,

“Tangkapan telah dibawa ke Balai Polis Kuala Selangor untuk tindakan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63,” jelasnya dalam kenyataan, semalam.

Rizal menjelaskn, kesemua tangkapan akan menjalani ujian saringan COVID-19 bagi mencegah penularan virus di kalangan pesalah dan juga petugas Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dalam masa yang sama, Rizal menyeru masyarakat setempat agar memberi kerjasama dan menyalurkan sebarang maklumat kepada PDRM berkaitan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply