Home Pertahanan dan Keselamatan 4 Div anjur Program Jiwa Murni di Pulau Carey

4 Div anjur Program Jiwa Murni di Pulau Carey

by Air Times News Network

KUALA LANGAT, 19 Mac – Markas Divisyen Keempat Infantri Malaysia (4 Div) telah melaksanakan Program Jiwa Murni (PJM) di Perkampungan Orang Asli Sungai Bumbun, Pulau Carey, pada Khamis.

Markas 4 Div menerusi hantaran di laman media sosialnya berkata, program anjuran Cawangan Risik yang diadakan pada 16 dan 17 Mac lalu telah dirasmikan oleh Panglima Markas 4 Div, Mejar Jeneral Datuk Ya’cob Samiran.

“Pelbagai aktiviti telah diatur bagi menjayakan program ini yang melibatkan 40 pegawai dan 80 anggota bawah naugan 4 Div,

“Seperti pemeriksaan kesihatan, pergigian, aktiviti kerohanian, motivasi hal ehwal wanita, serta penyampaian sumbangan kepada penduduk kampung,” kata hantaran itu pada Jumaat.

Jelas hantaran itu, pelbagai agensi turut berkolaborasi dalam PJM ini seperti Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Kuala Langat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Guru Besar dari Sekolah Kebangsaan Sungai Bumbun serta QSR Holding Sdn Bhd.

“Pelaksanaan PJM yang turut melibatkan masyarakat setempat ini adalah salah satu pelan tindakan 4 Div dalam merealisasikan Tonggak Kelima Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-28,

“Ianya juga dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam usaha mencegah penularan wabak COVID-19,” jelasnya.

Turut hadir Ketua Staf Markas 4 Div, Kolonel Zainudin Bahari, wakil MAIWP, Mejar (Kehormat) Safwan Saidin, wakil QSR Holding, Noor Baizura Ibrahim, wakil JAKOA, Sub Inspektor Safaren Badron dan Tok Batin, Sidin Bujang. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply