Home Pertahanan dan Keselamatan JIM gempur rumah setinggan, 117 PATI Filipina ditahan

JIM gempur rumah setinggan, 117 PATI Filipina ditahan

by Air Times News Network

KOTA KINABALU, 16 Mac – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyerbu sebuah penempatan setinggan di pusat membeli belah di Sungai Likas dan berjaya menahan 117 pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Filipina, pada Isnin.

JIM dalam satu hantaran di media sosialnya berkata, dalam serbuan tersebut seramai 124 orang telah diperiksa dan kesemua mereka adalah warga Filipina.

“Daripada jumlah tersebut, 117 individu ditahan termasuk 71 kanak-kanak berusia dari 2 hingga 10 tahun,” katanya.

Menurut JIM, operasi bermula kira-kira jam 12 tengah malam itu, pasukan operasi terpaksa berjalan kaki sejauh kira-kira 200 meter dan melalui titi kecil menyeberangi sungai untuk menyerbu kawasan penempatan di kawasan terpencil dipercayai didiami oleh PATI.

“Hasil serbuan mendapati kebanyakan penduduk tidak mempunyai dokumen dan segelintir daripadanya memegang dokumen IMM13 serta dokumen lain,” ujarnya.

Mengulas lanjut, JIM berkata, penempatan tersebut sudah wujud sekurang-kurangnya 4 tahun lalu berdasarkan pemeriksaan pada kabel elektrik dan keadaan kawasan berkenaan.

“Semua individu berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(c) kerana tinggal melebihi tempoh dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai sebarang dokumen,” jelasnya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply