KUALA LUMPUR, 11 Mac – Kapal KD LEKIU telah diberikan penghormatan untuk mewakili Tentera Laut Diraja Malaysia dalam satu latihan ketenteraan dwi tahunan di India.
TLDM dalam satu kenyataan berkata, KD Lekiu telah terlibat dalam Eksesais MILAN 22 yang berlangsung di Visakhapatnam.
“Eksesais MILAN 22 memfokuskan kepada kepentingan pewujudan sinergi positif dalam aspek kesefahaman ke arah mencapai keamanan dan kemakmuran maritim, melalui kerjasama erat dari kalangan angkatan laut negara yang mengambil bahagian,” katanya.
Eksesais yang berlangsung pada 25 Februari hingga 4 Mac ini melibatkan 13 buah negara. Ia dianjurkan secara dwi tahunan.
“Eksesais MILAN 22 telah dilaksanakan di dalam dua fasa iaitu Fasa Pelabuhan bermula dari 25 hingga 28 Februari,
“Fasa Laut yang bermula dari 1 hingga 4 Mac 22. Fasa Pelabuhan merangkumi ketibaan kapal-kapal serta delegasi yang terlibat beserta pelaksanaan Seminar Maritim Antarabangsa,” ujarnya.
Menurut TLDM, latihan Fasa Laut melibatkan sebuah kapal selam dan 21 pesawat udara yang dioperasikan oleh negara peserta.
“Fasa ini telah menguji keupayaan interoperability kesemua angkatan laut terlibat dalam peperangan konvensional yang meliputi latihan peperangan anti-serangan udara dan bawah permukaan, penembakan sasaran permukaan, replenishment at sea dan pendaratan helikopter,
“Kelangsungan latihan yang lancar tanpa sebarang insiden jelas menggambarkan sikap profesionalisme, keupayaan dan kesefahaman kesemua warga angkatan laut yang terlibat,” kata kenyataan itu.
Menurut TLDM, pihaknya sangat berbesar hati kerana diberi peluang untuk mengambil bahagian dalam Eksesais MILAN 22.
“TLDM akan terus komited memanfaatkan setiap peluang beroperasi bersama angkatan laut sahabat di masa hadapan, dalam usaha memacu ketersediaan warga untuk melindungi serta mempertahankan kepentingan maritim negara pada sebilang masa,” jelasnya. – airtimes.my
Galeri Gambar: