Home Pertahanan dan Keselamatan Penjawat awam rugi RM126,588 ditipu Macau Scam

Penjawat awam rugi RM126,588 ditipu Macau Scam

by Air Times News Network

ALOR SETAR, 10 Mac – Seorang penjawat awam kerugian sebanyak RM126,588 apabila ditipu oleh sindiket penipuan macau scam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Kedah, Suprintendan Elias Omar berkata, wanita berusia 38 tahun itu menerima panggilan daripada individu yang tidak dikenali memperkenalkan diri sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Mangsa telah menerima panggilan telefon daripada individu tidak dikenali dan memperkenalkan diri daripada LHDN Cyberjaya serta memaklumkan terdapat sebuah syarikat bernama HRC Global didaftarkan atas nama mangsa serta mempunyai tunggakan cukai,

“Mangsa menafikannya dan telah dihubungi oleh individu yang menyamar sebagai pihak polis serta dimaklumkan terlibat dalam kes penggubahan wang haram serta dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya lagi, sindiket berkenaan telah menyuruh mangsa untuk menekan pautan yang diberikan dalam aplikasi whatsapp dan mengisi butiran diri serta akaun bank milik mangsa.

Elias berkata, mangsa mula menyedari telah ditipu apabila menerima mesej daripada pihak bank pada keesokan harinya kerana terdapat transaksi pemindahan wang melalui akaun Bank Islam sebanyak RM36,609 dan Tabung Haji RM87,788 miliknya.

“Mangsa telah membuat laporan polis di Balai Polis Alor Setar, pada 9 Mac,

“ Satu kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” ujarnya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply