Home Pertahanan dan Keselamatan KPDNHEP rampas 8,448 kg minyak masak cuba diseludup

KPDNHEP rampas 8,448 kg minyak masak cuba diseludup

by Nurulhuda

KOTA BHARU, 6 Mac – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berjaya mematahkan penyeludupan 8,448 kilogram (kg) minyak masak bersubsidi di sebuah rumah di Kampung Aur Duri, pagi tadi.

Operasi bersepadu bersama Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pasukan Polis Marin (PPM), Wilayah 3, Pengkalan Kubor pada jam 5.20 pagi itu berjaya merampas minyak masak paket 1 kg bernilai RM21,120 dan menyita 3 kenderaan yang digunakan untuk penyeludupan berjumlah RM72,000.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Kelantan, Azanizam Affendi Juri berkata, hasil maklumat risikan, pihaknya mengesan pergerakan sebuah lori 3 tan dari Pahang yang membuat pemunggahan minyak masak bersubsidi berkenaan.

Katanya, minyak masak berkenaan kemudian dibawa ke sebuah rumah di tepi Sungai Kelantan yang dijadikan sebagai transit sementara.

“Ketika membuat pemantauan, pasukan mendapati 4 lelaki sedang memunggah minyak masak ke sebuah rumah. Suspek menyedari kehadiran pasukan sebelum melarikan diri ke dalam semak berhampiran,

“Modus operandi mereka dengan membawa barangan ini dari luar Kelantan iaitu dari Pahang dan menjadikan rumah yang jauh dari penduduk kampung serta beroperasi pada awal pagi untuk mengelak dikesan penguat kuasa,

“Minyak masak ini kemudian dibawa ke sempadan negara sebelum diseludup ke negara jiran kerana mendapat permintaan yang tinggi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azanizam berkata, hasil pemeriksaan lanjut, pasukan serbuan menemui sejumlah 8,448 kg minyak masak paket 1kg bersubsidi dan menyita 3 kenderaan iaitu sebuah lori 3 tan, sebuah kenderaan pacuan 4 roda Mitsubishi Pajero dan Proton Waja dengan anggaran keseluruhan RM83,120.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan KPDNHEP Kelantan memberi amaran kepada semua peniaga supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan pihaknya memandang serius isu barangan kawalan bagi mengelak ia diseleweng hingga mengakibatkan gangguan bekalan kepada pengguna,

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau peniaga yang melakukan kesalahan ini tanpa kompromi,” tegasnya. -airtimes.my

Operasi bersepadu bersama Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pasukan Polis Marin (PPM), Wilayah 3, Pengkalan Kubor berjaya merampas minyak masak paket 1 kg bernilai RM21,120 dan menyita 3 kenderaan yang digunakan untuk penyeludupan berjumlah RM72,000.

@KPDNHEPKelantan

#penyeludupan #minyakmasak #KPDNHEP #AirTimes #keselamatan

Related Articles

Leave a Reply