Home Pertahanan dan Keselamatan Pondok usang jadi stor simpanan rokok seludup di Mersing

Pondok usang jadi stor simpanan rokok seludup di Mersing

by Air Times News Network

MERSING, 9 Feb – Sebuah pondok usang dijadikan stor penyimpanan rokok seludup bernilai RM20,400 termasuk cukai diserbu Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua di ladang kelapa sawit, Sri Pantai Mersing, semalam.

Komander PPM Wilayah 2, Asisten Komisioner Polis (ACP) Muhd Zailani Abdullah berkata, anggotanya semasa pemantauan di daerah Mersing telah menerima maklumat mengenai sebuah kenderaan warna gelap yang masuk ke kawasan ladang tersebut dalam keadaan mencurigakan dan disyaki menjalankan aktiviti penyeludupan.

“Setelah menerima maklumat tersebut, anggota PPM Wilayah 2 telah pergi ke lokasi, namun tidak menemui sebarang kenderaan.

“Namun telah menjumpai sejumlah kotak dan rokok yang dipercayai tidak bercukai kastam,

“Tiada individu yang datang mengambil rokok berkenaan setelah intipan dijalankan selama satu jam setengah oleh anggota PPM tersebut,” katanya.

Anggota PPM Wilayah 2 memeriksa kotak yang ditinggalkan di pondok usang di ladang kelapa sawit, Sri Pantai Mersing

Beliau berkata, kemudian anggotanya telah merampas rokok yang dipercayai tidak bercukai Kastam tersebut dan dibawa ke Pejabat PPM Wilayah Dua, Mersing.

“Anggaran kasar nilai rampasan rokok termasuk cukai berjumlah RM 20,400. Rampasan diserahkan kepada Pengawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Mersing untuk tindakan selanjutnya,

“Kes akan disiasat Dibawah Sek 135 (1)(d) Akta Kastam 1967,” ujarnya. – airtimes.my

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply