PENGKALAN KUBOR, 5 Feb – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 3 berjaya merampas sebanyak 22 guni kain batik yang diseludup masuk dari negara jiran bernilai RM70,400, pada Sabtu.
PPM dalam satu hantaran di media sosialnya berkata, pihaknya turut berjaya menahan sebuah kenderaan jenis Toyota Unser di kawasan Jalan Pengkalan Chepa, Kelantan.
“Seorang lelaki yang dipercayai pemandu kenderaan tersebut telah keluar daripada kenderaan tersebut dan melarikan diri ke kawasan kampung di belakang rumah berkenaan sejurus kenderaan mereka ditahan,
“Hasil pemeriksaan didalam kenderaan, terdapat 22 bungkusan guni mengandungi kain batik yang diseludup masuk secara haram ke negara ini untuk pasaran tempatan,” katanya.
Tambahnya lagi, kesemua rampasan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Kes disiasat bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. – airtimes.my