KUALA TERENGGANU, 25 Jan – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu menahan sebuah bot nelayan asing di kedudukan lebih kurang 72 batu nautika timur laut Kuala Terengganu, semalam.
Pengarah APMM Terengganu Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, pihaknya telah mengesan sebuah bot nombor pendaftaran asing yang mencurigakan di perairan Terengganu semasa Op Kuda Laut dan Op Naga Barat dijalankan.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut dikendalikan 6 kru termasuk tekong, warga Vietnam berusia antara 17 hingga 54 tahun.
“Kesemua mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan dan kebenaran yang sah serta disyaki melakukan aktiviti menangkap ikan secara haram di perairan negara,
“Bot bersama 6 kru serta semua hasil tangkapan ditahan dan dibawa ke Jeti Pusat Tahanan Vesel, APMM Terengganu untuk siasatan lanjut”, jelasnya menerusi hantaran di media sosial milik APMM semalam.
Tambahnya, kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63. -airtimes.my