SUNGAI BULOH, 12 Jan – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan terdapat anggotanya memeras ugut warga asing berdekatan Pasaraya Econsave, Kampung Baru Subang.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, perkara ini tular di Twitter selepas dimuat naik oleh @afiqadham yang mendakwa terdapat anggota polis memeras ugut warga asing.
“Di dalam pautan twitter menyatakan kejadian tersebut berlaku berkekatan Pasaraya Econsave, Kampung Baru Subang,
“Masa dan tarikh tidak dijelaskan dengan tepat. Semakan juga dibuat mendapati pemilik akaun telah memadamkan isu tersebut dari laman Twitter miliknya,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, hasil semakan sehingga kini mendapati tiada laporan polis yang dibuat berhubung kejadian tersebut.
“Pihak polis akan menjalankan siasatan lanjut terhadap dakwaan tersebut dan memohon agar orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini untuk tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh,” ujarnya. – airtimes.my