Home SemasaGlobal KKM luluskan pendaftaran COMIRNATY sebagai Produk Vaksin COVID-19

KKM luluskan pendaftaran COMIRNATY sebagai Produk Vaksin COVID-19

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 6 Jan – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah meluluskan pendaftaran bersyarat bagi produk vaksin jenis COMIRNATY 10mcg Concentrate for Dispersion for Injection dan COMIRNATY (Tris/Sucrose) 30mcg Solution for Injection dengan bersyarat.

Ketua Pengarah KKM, Datuk Seri Dr. Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan berkata, vaksin COMIRNATY yang diluluskan untuk imunisasi COVID-19 kepada kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun.

“Vaksin COMIRNATY ini mempunyai kekuatan yang lebih rendah berbanding yang diberikan kepada individu berusia 12 tahun dan ke atas,

“COMIRNATY (Tris/Sucrose) 30mcg Solution for Injection pula merupakan vaksin formulasi baharu yang tidak memerlukan pencairan sebelum administrasi,

“Tempoh jangka hayat vaksin ini adalah 10 minggu berbanding formulasi sedia ada iaitu 1 bulan, apabila disimpan pada suhu 2 ºC hingga 8 ºC setelah dinyahbeku,

“Indikasi COMIRNATY (Tris/Sucrose) 30mcg Solution for Injection ini adalah untuk imunisasi COVID-19 kepada individu berumur 12 tahun dan ke atas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya lagi, Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) telah memberi kelulusan kepada pengguna vaksin Convidecia® Recombinant Novel Coronavirus Vaccine (Adenovirus Type 5 Vector) Solution for Injection sebagai dos penggalak kepada individu yang berumur 18 tahun dan ke atas.

“Setiap penerima perlu selang masa 3 hingga 6 bulan selepas menerima dos pertama daripada vaksin yang sama,

“Pemegang pendaftaran bagi vaksin ini ialah Solution Biologics Sdn. Bhd. dan ia dikilangkan oleh CanSino Biologics Inc., China,” ujarnya.

Menurut Noor Hisham, kelulusan pendaftaran bersyarat ini masih memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin tersebut dipantau dan dinilai secara berterusan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA). – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply