Home Pertahanan dan Keselamatan Kementerian Pertahanan rangkul Anugerah Booth Pameran Terbaik

Kementerian Pertahanan rangkul Anugerah Booth Pameran Terbaik

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 13 Dis – Kementerian Pertahanan telah dianugerahkan sebagai booth terbaik di pameran 100 hari Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) yang telah berlabuh tirainya pada Ahad.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Sri Muez Abd Aziz telah menerima sijil kemenangan yang dianugerahkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Program Hari Terbuka 100 Hari AKM yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) ini telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob pada 9 Disember lalu.

Booth Kementerian Pertahanan telah mempamerkan beberapa inisiatif Kementerian yang diterajui oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dengan memberi perhatian kepada usaha memerangi COVID-19, memperkasakan keselamatan dan ketenteraman negara serta meningkatkan kesejahteraan sosial.

“Program yang berakhir semalam, merupakan antara inisiatif kerajaan dalam menyemarakkan lagi semangat Keluarga Malaysia merentasi agama, kaum, warna kulit dan sempadan disamping mengetepikan perbezaan dalam memulihkan semula negara dan mengembleng tenaga untuk mendepani pandemik COVID-19 dan merealisasikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,

“Antara pengisian program adalah karnival kerjaya, persembahan kebudayaan, malam aspirasi seni, jualan usahawan, sukan rakyat, galeri pencapaian kementerian serta program bantuan,

“Ruang pameran daripada setiap kementerian merupakan antara tarikan yang disediakan bagi memberikan informasi kepada pengunjung atas setiap inisiatif dan pencapaian prestasi kementerian bagi tempoh 100 hari pentadbiran kerajaan,” jelas Markas ATM dalam hantaran di laman Facebook rasminya, malam tadi.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut mempromosikan kerjaya ATM melalui ruang pameran dalam memberi peluang kepada pengunjung untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan kemasukan sebagai pegawai dan anggota bagi setiap perkhidmatan Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply