Home Pertahanan dan Keselamatan Tentera Darat rampas rokok seludup bernilai RM4.5 juta di Lawas

Tentera Darat rampas rokok seludup bernilai RM4.5 juta di Lawas

by Air Times News Network

LAWAS, 1 Dis – Tentera Darat Malaysia (TDM) berjaya menggagalkan cubaan seludup 30 ribu karton rokok putih bernilai RM4,500,000 di Merapok, Lawas pada Rabu.

Sel Perhubungan Raya, Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Div) dalam kenyataan berkata, sepasukan anggota yang sedang melaksanakan rondaan di kawasan Tanjung Enasan, Bukit Skaban mengesan 2 buah lori yang mencurigakan melalui kawasan tersebut pada jam 12.30 malam.

“Semasa anggota cuba menahan kenderaan tersebut, 2 daripada 3 individu berjaya melarikan diri manakala seorang individu lelaki berusia 35 tahun berjaya ditahan,

“Lelaki yang ditahan merupakan seorang PATI berikutan tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah,” katanya.

Menurut 1 Div, nilai keseluruhan barang yang dirampas dianggarkan sebanyak RM4,708,700.

“Senarai barang rampasan dan nilai anggaran merangkumi sebuah lori Isuzu NPR 150 yang bernilai RM100,700, HINO XZU730 bernilai RM108,000 dan 30,000 karton rokok putih bernilai RM4,500,000,” ujarnya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply