Home Pertahanan dan Keselamatan Eksesais Kekar MALINDO tingkat kesiagaan, profesional tentera Malaysia dan Indonesia

Eksesais Kekar MALINDO tingkat kesiagaan, profesional tentera Malaysia dan Indonesia

by Air Times News Network

SRI AMAN, 23 Nov – Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Nasional Indonesia (TNI-AD) telah melaksanakan Eksesais Keris Kartika Malaysia dan Indonesia (KEKAR MALINDO) siri 44AB/2021 di sekitar kawasan Sri Aman, Engkelili, Lubok Antu serta Semanju.

Eksesais diadakan setiap tahun melibatkan 2 fasa iaitu Eksesais Pos Pemerintah (Command Post Exercise) dan Eksesais Trup Medan (Field Training Exercise) yang melibatkan pegawai dan anggota pasukan Batalion ke 13 Rejimen Askar Melayu Diraja (13 RAMD) yang mewakili TDM manakala TNI-AD diwakili pasukan YONIF Raider 641 Beruang.

TDM menerusi hantaran di media sosialnya berkata, eksesais ini bertujuan untuk menguji pemerintah dan pegawai staf di peringkat batalion infantri serta pasukan gabungan dalam operasi gabungan, selain meningkatkan keupayaan kedua-dua pihak bagi melaksanakan operasi dalam konteks Peperangan Konvensional (Conventional Warfare),

“Seramai 17 pegawai dan 344 anggota pasukan Batalion 13 RAMD mewakili TDM manakala TNI-AD diwakili pasukan YONIF Raider 641 Beruang yang terdiri daripada 10 pegawai bersama 122 anggota lain-lain pangkat.

“Selain itu, eksesais ini juga bertujuan mengeratkan semangat setiakawan serta perhubungan erat antara kedua-dua negara agar berterusan selain dapat meningkatkan kesiagaan ketenteraan bagi menghadapi sebarang ancaman musuh yang mendatang,” jelas TDM.

Panglima 3 Briged, Brigedier Jeneral Mohd Kamil Abdul Latiff, telah menyempurnakan Majlis Pembukaan di Kem Pakit, Sri Aman yang turut dihadiri bersama Brigadir Jenderal TNI Djauhari, S. E., Kepala Staf KODAM XII/ Tanjungpura.

Tambahannya, eksesais ini sejajar dengan Tonggak Keempat Perintah Ulung PTD Ke-28 iaitu Pengukuhan Hubungan Pertahanan, yang menekankan kepada kerjasama pertahanan bersama tentera negara serantau mahupun antarabangsa, ujarnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply