KLUANG, 30 Okt – Kementerian Pertahanan akan memberi tumpuan kepada penyelenggaraan aset pertahanan yang sedia ada terlebih dahulu berbanding pembelian baharu.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussien berkata, kementeriannya meletakkan keutamaan tersebut kerana pembelian aset baharu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan melalui tempoh masa yang panjang dalam proses perolehan.
“Pembelian aset-aset baharu akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMk-12) kerana aset ketenteraan ini akan mengambil masa yang lama untuk diperolehi,
“Jadi perolehan bajet tahunan tidak boleh diselesaikan dalam masa yang singkat (setahun) tetapi kesinabungan melalui bajet tahunan kita (Kementerian Pertahanan) dalam 5 tahun perancangan pelan Dasar Kementerian Pertahanan akan diteruskan,
“Penekanan-penekanan yang telah dipersetujui bersama bukan sahaja oleh ATM dan Kementerian Pertahanan tetapi pihak-pihak berkenaan lain sama ada syarikat swasta yang diberikan kontrak untuk tunaikan tanggungjawab dan amanah yang dijanjikan,” jelasnya kepada pemberita semasa sesi lawatan kerja Projek Jiwa Murni (PJM) di Kampung Sri Tambak, pada Sabtu.
Dalam masa yang sama, Hishammuddin turut menegaskan kementeriannya sentiasa meletakkan keutamaan dalam menjaga kebajikan anggota dan warga Kementerian Pertahanan terutamanya ketika negara sedang berhadapan wabak pandemik COVID-19.
Beliau berkata, peruntukan yang bakal diterima tahun depan itu akan dimanfaatkan sepenuhnya termasuk menyediakan kediaman lebih selesa kepada anggota, veteran ATM selain menambah baik infrastruktur di sekolah dalam kem ATM.
“Kebajikan anggota sentiasa menjadi keutamaan pada kami, di mana anggota ATM merupakan barisan hadapan ketika ini,
“Tadi saya sempat berjumpa dengan Kor Kesihatan Diraja (KKD) dan saya tanya apa keperluan mereka dan sebenarnya dari segi perkakas serta peralatan mereka mencukupi, cuma kebajikan kini menjadi isu,
“Jadi, untuk pastikan moral mereka ini tinggi, isu kebajikan mesti diberikan tumpuan dan sata telah menyatakan kepada mereka kalau ada kekangan atau keperluan mereka boleh terus hubungi Pejabt Menteri Pertahanan secara langsung,” tambahnya.
Selain itu, beliau turut menegaskan, Program Jiwa Murni Kementerian Pertahanan akan diperluas selari aspirasi Keluarga Malaysia yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. -airtimes.my