Home Pertahanan dan Keselamatan TLDM, TUDM sentiasa ronda dan lindungi kedaulatan perairan negara

TLDM, TUDM sentiasa ronda dan lindungi kedaulatan perairan negara

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 7 Okt – Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz hari ini menegaskan aset Angkatan Tentera Malaysia khususnya Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sentiasa melakukan rondaan bagi melindungi kedaulatan di kawasan perairan negara.

Beliau menyatakan perkara tersebut semasa Penggulungan Titah Diraja bagi pihak Kementerian Pertahanan di Dewan Negara.

“Kapal-kapal TLDM melakukan operasi rondaan di perairan Sabah dan Sarawak bagi melindungi kedaulatan serta kepentingan maritim negara,

“Pesawat TUDM turut melaksanakan operasi rondaan maritim secara berkala,” jelasnya.

Tegasnya, rondaan sebegini merupakan komitmen oleh kerajaan dengan meletakkan kepentingan negara sebagai asas utama dalam setiap tindakan yang diambil bagi menangani sebarang pencerobohan perairan Malaysia.

Beliau menambah, sebarang pencerobohan aset asing ke dalam perairan negara akan dilaporkan kepada Kementerian Luar Negeri.

“Sekiranya aset asing dikesan mencerobohi perairan negara semasa rondaan dijalankan, Kementerian Pertahanan akan memajukan laporan pencerobohan kepada Kementerian Luar Negeri,

“Pihak Wisma Putra akan melakukan tindakan bantahan diplomatik,” ujar beliau.

Pada masa yang sama, Ikmal menegaskan Malaysia sentiasa menekankan di peringkat antarabangsa supaya semua pihak menghormati dan mematuhi undang-undang antarabangsa, termasuk UNCLOS 1982. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply