KUALA LUMPUR, 1 Okt – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan tipu helah baharu sindiket Scammer menggunakan aplikasi WhatsApp.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial PDRM, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, taktik tipu helah baru scammer adalah dengan memperdayakan mangsa dengan menyamar sebagai majikan.
“Suspek akan menghubungi mangsa dan menyamar sebagai majikan,
“Gambar profil yang digunakan oleh suspek, mirip gambar majikan kepada mangsa yang percaya,
“Kemudian akan diarahkan untuk membuat pembelian kad ‘Google Play Gift’ yang boleh dibeli di kedai serbaneka dan menyerahkan no pin kad ‘Google Play Gift’ tersebut kepada suspek,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, mangsa hanya menyedari telah ditipu selepas mendapati nombor telefon yang digunakan adalah berbeza dengan nombor sebenar milik majikan.
Katanya, setakat ini sebanyak 2 kes penipuan seperti ini telah dikesan melibatkan kerugian RN30,250.00.
“Dalam usaha untuk memcegah kes-kes sebegini dari terus berlaku, orang ramai diingatkan supaya sentiasa berhati-hati apabila menerima mesej melalui WhatsApp atau panggilan daripada nombor yang tidak dikenali,” ujarnya.
Pada masa sama, Mohd Kamarudin menasihati orang ramai agar tidak mudah terpengaruh kepada gambar profil semata-mata.
“Sebaliknya perlu untuk membuat semakan dan pengesahan terutamanya terhadap mesej-mesej yang melibatkan implikasi kewangan,
“Sebarang kemusykilan atau pertanyaan, orang ramai boleh mendapat khidmat nasihat dari CCID Response Center di talian 03-26101559 / 1599. – airtimes.my