Home Pertahanan dan Keselamatan JIM tahan tauke kilang pakaian warga Bangladesh di Ampang

JIM tahan tauke kilang pakaian warga Bangladesh di Ampang

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 25 Sept – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan seorang pengusaha kilang pakaian warganegara Bangladesh bersama 45 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam satu operasi penguatkuasaan di Ampang pada Khamis.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi ini merupakan rentetan daripada kejayaan Operasi Hack (Op Hack) yang dijalankan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada April lalu.

“Beberapa siri operasi telah dijalankan bagi mengesan saki-baki individu yang menggunakan pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang dikeluarkan oleh sindiket ID-Hack berkenaan,

“Dalam operasi ini, sepasukan pegawai JIM telah menyerbu 2 buah kilang pakaian dan 2 premis lain iaitu sebuah bangunan pejabat serta pusat pameran milik seorang lelaki warganegara Bangladesh berumur 46 tahun,

“Suspek menggunakan PLKS yang disyaki diperolehi melalui sindiket ID-Hack sebelum ini untuk menubuhkan sebuah syarikat di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Dzaimee, syarikat suspek aktif dalam bidang industri pembuatan pakaian untuk pasaran Lembah Klang dan sekitar Selangor sejak tahun 2012.

“Berdasarkan siasatan awal, modus operandi suspek adalah menubuhkan syarikat dengan kerjasama warga tempatan dan mengunakan sumber tenaga kerja dari kalangan PATI untuk memaksimakan keuntungan,

“Suspek bertindak menyewa beberapa premis komersial termasuk sebuah bangunan tiga tingkat untuk dijadikan kilang bagi aktiviti memotong, menjahit, mencetak pakaian selain dijadikan sebagai hostel pekerja,

“Manakala sebuah premis pula dijadikan sebagai pusat pameran dan jualan syarikat,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, suspek juga mampu menggaji seramai 45 orang warga asing dengan anggaran bayaran gaji seorang sebanyak RM1,600 sebulan untuk meningkatkan pengeluaran bagi memenuhi permintaan pelanggan.

“Syarikat milik suspek dianggarkan berjaya mengaut keuntungan lumayan melalui  perolehan jualan antara RM130,000 hingga RM150,000 sebulan,

“Kegiatan suspek telah menyebabkan kerugian hasil kepada kerajaan khususnya dalam bentuk levi pekerja asing mencecah RM700,000 sepanjang tempoh syarikat itu beroperasi,” jelasnya.

Dzaimee berkata, pasukan operasi telah menahan 45 orang warga asing berumur 17 hingga 56 tahun yang berasal daripada Bangladesh, Myanmar dan Indonesia yang berada di dalam premis dan disyaki sedang menjalankan aktiviti menjahit pakaian.

“Pemeriksaan juga mengesan beberapa orang pekerja yang ditahan turut memiliki PLKS tidak teratur yang dikeluarkan oleh sindiket ID-Hack sebelum ini,

“Pasukan operasi turut merampas sejumlah wang tunai dipercayai hasil jualan harian pakaian, dokumen-dokumen syarikat dan beberapa Sijil Pemilikan Kenderaan yang didaftarkan menggunakan nama syarikat yang sama,” tambahnya.

Katanya, berdasarkan kad ATM yang dirampas, suspek dipercayai telah menyimpan hasil keuntungan yang masih belum dipastikan jumlahnya menerusi beberapa akaun di bank-bank tempatan.

“Kesemua tahanan kini di tahan di bawah Seksyen 51(5) (b) Akta Imigresen 1959/63 selama 14 hari untuk siasatan lanjut,” ujarnya lagi.

Manakala suspek dan seorang wanita warganegara tempatan berumur 37 tahun yang juga merupakan pengarah syarikat disiasat atas kesalahan menggaji pekerja asing tanpa pas yang sah di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta kesalahan-kesalahan lain berkaitan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001(Akta 613) dan Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran 2007.

Sementara itu, Dzaimee menegaskan JIM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam penggodaman sistem jabatan sehingga memberi implikasi buruk kepada keselamatan dan ekonomi negara. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply