KUALA LUMPUR, 25 Sept – Jawatankuasa Keselamatan Pakatan Harapan (PH) hari ini menegaskan Malaysia perlu dilihat berkecuali dan tidak memihak kepada negara-negara kuasa besar berhubung penubuhan pakatan AUKUS antara Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat.
Dalam satu kenyataan bersama, Jawatankuasa Keselamatan PH turut menekankan bahawa Malaysia tidak boleh dilihat memihak dan memberi gambaran bahawa menerima arahan daripada mana-mana pihak berhubung isu tersebut.
“Cadangan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada Rabu berkenaan lawatan kerja ke China bagi membincangkan pakatan AUKUS dilihat agak aneh dan menimbulkan persepsi seolah-olah Malaysia menerima arahan daripada China,
“Beliau berkata, kita (Malaysia) perlu mendapat pandangan kepimpinan China, khususnya dalam aspek pertahanan, berhubung AUKUS,” kata katanya dalam satu kenyataan bersama oleh Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; Ketua Whip Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Johari Abdul dan Pengarah Strategik DAP, Liew Chin Tong.
Mengulas lanjut, jawatankuasa itu menzahirkan kebimbangan bahawa perjanjian AUKUS itu telah meningkatkan suhu geopolitik di rantau ini. Kerajaan Indonesia juga berkongsi pendirian yang sama.
“Biarpun pendirian rasmi kerajaan Malaysia, seperti yang ditekankan oleh Perdana Menteri, Menteri Luar Negeri dan Menteri Pertahanan yang menyatakan kebimbangan bahawa AUKUS bakal mencetuskan persaingan senjata di rantau ini, adalah selari dengan pendirian PH,
“Namun kenyataan Hishamuddin adalah salah sama sekali,” ujarnya.
Menurut jawatankuasa itu, Malaysia dipandu oleh Kertas Putih Pertahanan (KPP) yang telah diluluskan di Parlimen secara dwipartisan pada 2 Disember 2019.
“Salah satu daripada 5 prinsip asas pertahanan yang digariskan dalam KPP adalah ‘keneutralan aktivis’ iaitu mengamalkan dasar berkecuali dan mempromosikan kerjasama dengan memberi penekanan terhadap keterangkuman serta perkongsian kemakmuran, seiring dengan perkongsian keselamatan dan perkongsian identiti,” jelasnya.
Sementara itu, pendirian neutral tidak bermaksud Malaysia hanya berpeluk tubuh apabila ada percubaan untuk menjejaskan kedaulatan negara dan sikapnya untuk berkecuali.
“Malaysia seharusnya bersuara lantang terhadap kuasa Barat sekiranya berlakunya perlumbaan senjata di rantau ini.
“Pada masa yang sama, Malaysia juga perlu mempengaruhi China secara aktif supaya menghormati kedaulatan negara-negara serantau, serta peranan ASEAN di rantau ini,” kata kenyataan itu lagi. – airtimes.my