MIRI, 14 Ogos – Pasukan Polis Marin Wilayah 5 (PPMW5) Bintulu berjaya merampas rokok pelbagai jenama dan minuman keras tidak bercukai menerusi Operasi Kontraban di jalan pesisir pantai Bintulu-Miri, semalam.
Komander PPM Wilayah 5 Sarawak, ACP Zulfikar Mohd Ghazali berkata, barang rampasan terdiri daripada rokok pelbagai jenama, minuman keras dan van dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM167,608.73.
“Tangkapan tersebut dibuat oleh Unit Risikan Marin (URM) yang menjalankan Op Kontraban dalam membasmi penyeludupan barangan tidak bercukai,
“Hasil pemeriksaan dibuat terhadap van tersebut, pemilik gagal menunjukkan sebarang dokumen berkaitan pembayaran cukai kastam dan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Kastam 1967,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Semua barangan rampasan dan tangkapan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Miri untuk siasatan selanjutnya. – airtimes.my