Home Pertahanan dan Keselamatan 3 daripada 5 PATI Indonesia ceroboh Malaysia positif COVID-19

3 daripada 5 PATI Indonesia ceroboh Malaysia positif COVID-19

by Nurulhuda

TAWAU, 28 Jul – Seramai 3 daripada 5 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) yang diselamatkan selepas bot dinaiki mereka terbalik ketika cuba melarikan diri dari ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) disahkan positif COVID-19.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Siva Kumar Vengadasalam berkata, bot penumpang dikendalikan seorang juragan tempatan berjaya dikesan bot ronda di perairan Barat Daya Tanjung Batu, sebelum terbalik ketika cuba meloloskan diri, semalam.

Namun, juragan serta 5 penumpang di dalam bot berkenaan berjaya diselamatkan sebelum mereka ditahan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati bot terbabit dikendalikan seorang remaja tempatan berusia 17 tahun manakala 5 penumpang terdiri daripada 2 lelaki dan 3 wanita warga Indonesia berumur antara 15 hingga 58 tahun itu disyaki cuba menyusup masuk ke negara ini secara haram.

“Kesemua penumpang gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri dan memberi alasan insiden bot terbalik menyebabkan kesemua dokumen jatuh ke laut,

“Juragan serta kesemua penumpang telah ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 atas cubaan memasuki negara ini melalui laluan laut yang tidak diwartakan,” katanya dalam hantaran di media sosial APMM, hari ini.

Berkaitan PATI yang disahkan positif COVID-19, beliau berkata, hasil ujian saringan pengesanan awal (RTK) ke atas kesemua tahanan mendapati 3 daripada PATI tersebut positif COVID-19 dan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut.

“Pihak KKM akan membuat siasatan dan akan memanggil semua kontak rapat dalam kes ini untuk ujian pengesanan COVID-19,” tambahnya.

Pada masa sama, Siva berkata, pihaknya tidak bertanggungjawab dengan tindakan pihak yang cubaan membawa masuk warga asing ke negara ini.

“Kerjasama dengan agensi-agensi lain akan terus diperkukuhkan dalam memastikan undang-undang negara dipatuhi sepenuhnya,” ujarnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply