Home Pertahanan dan Keselamatan Hospital Medan ATM ke-6 akan dibina di Klang

Hospital Medan ATM ke-6 akan dibina di Klang

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 8 Jul – Kerajaan akan membina satu lagi Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang bagi menyokong kesiapsiagaan perkhidmatan kesihatan di Selangor seterusnya membantu KKM menangani situasi pandemik COVID-19 di negeri tersebut ketika ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat selepas perbincagan dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini yang meneliti pembentangan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai situasi semasa COVID-19 di negeri Selangor.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, sehingga kini, KKM mengesahkan purata kes harian di negeri Selangor dalam tempoh 14 hari kebelakangan menunjukkan trend peningkatan secara mendadak dengan jumlah kluster yang semakin meningkat.

“Berdasarkan situasi ini, kerajaan turut bersetuju untuk menubuhkan satu lagi Hospital Medan ATM di HTAR, Klang bagi menyokong kesiapsiagaan perkhidmatan kesihatan di negeri Selangor seterusnya membantu KKM menangani situasi pandemik COVID-19 di negeri tersebut ketika ini,

“Pada masa yang sama, ATM juga memberi jaminan sentiasa komited dan bersiap-siaga jika ada keperluan untuk membina hospital-hospital medan di negeri-negeri yang memerlukan khidmat sokongan kesihatan dalam memastikan kesihatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia sentiasa dilindungi,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hari ini.

Ismail Sabri turut menjelaskan, mesyuarat telah bersetuju untuk mewujudkan Hospital Medan ATM di negeri Melaka untuk menyokong sistem perkhidmatan kesihatan di negeri tersebut ketika ini.

“ATM akan berbincang dengan lebih lanjut bersama KKM untuk memperincikan semua keperluan bagi menentukan pembukaan hospital medan ATM di negeri ini dalam masa terdekat,” tambahnya.

Sebelum ini, ATM telah membina Hospital Medan iaitu di Tawau, Sabah; Kapit, Sarawak; Kepala Batas, Pulau Pinang ; Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor dan Dewan Serbaguna Perbadanan Labuan. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply