KUALA LUMPUR, 4 Jul – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menahan seramai 72 orang warga asing dalam operasi bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sebuah bangunan di Pudu, semalam.
Ketua Pengarah JIM, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi penguatkuasaan dan pematuhan yang dijalankan bermula pada jam 5.00 petang di bawah Operasi Patuh (Op Patuh) itu telah dilancarkan oleh Menteri Dalam Negeri baru-baru ini.
“Pemeriksaan mendapati kawasan yang dihuni oleh majoriti warga asing bukan sahaja tidak mematuhi SOP,
“Malahan ianya dalam keadaan yang sangat kotor dan tidak teratur. Selain, dipenuhi sampah dan berbau busuk,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, lokasi tersebut dipercayai menjadi sarang pelacuran dan pernah beberapa kali diserbu JIM sebelum ini. Pegawai operasi juga terpaksa memecahkan pintu kerana kebanyakkan penghuni kediaman tidak memberikan kerjasama sewaktu pemeriksaan.
“Seramai 245 individu telah diperiksa dan berjaya menahan 72 orang warga asing daripada pelbagai warganegara yang berumur di antara 25 hingga 50 tahun.
“Warga asing yang ditahan terdiri daripada 43 orang lelaki dan 29 orang wanita,” ujarnya.
Tambahnya, antara kesalahan yang dikenalpasti adalah tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, menyalahgunakan pas dan tinggal lebih masa. Kesemua mereka akan disiasat di atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“JIM akan terus melaksanakan operasi penguatkuasaan bersama agensi yang lain di bawah Op Patuh yang diterajui oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN),
“Operasi penguatkuasaan bukan sahaja untuk mengesan dan menangkap pendatang asing, malahan bertujuan untuk mengekang penularan COVID-19 dalam kalangan masyarakat,” tambahnya. – airtimes.my