Home Pertahanan dan Keselamatan APMM tahan sebuah kapal tangki ulang kesalahan sama

APMM tahan sebuah kapal tangki ulang kesalahan sama

by Air Times News Network

JOHOR BAHRU, 4 Jul – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah kapal tangki yang berdaftar di Saint Kitts and Nevis telah mengulangi kesalahan sama iaitu berlabuh secara haram di perairan Timur, kedudukan 10.5 batu nautika timur laut Tanjung Penawar, sekitar jam 2.00 petang semalam.

Pengarah APMM Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, penahanan ini dilakukan oleh kapal ronda Maritim yang sedang melaksanakan rondaan dan mengesan sebuah kapal berlabuh secara haram.

“Kapal tersebut pernah ditahan pada 20 Disember 2020, atas kesalahan yang sama dan telah didenda sebanyak RM50 ribu,

“Hasil pemeriksaan mendapati kapal dikendalikan oleh 10 kru yang terdiri daripada warga Indonesia, Bangladesh dan Myanmar berumur diantara 24 hingga 56 tahun dan mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.

Sementara itu, pemeriksaan terhadap dokumen kapal mendapati nakhoda gagal mengemukakan sebarang kebenaran bersauh dan mengikut rekod penahanan ini adalah kali kedua ke atas kapal yang sama dalam tempoh kurang dari setahun.

“Kesemua kapal dan kru telah ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952,

“Sekiranya didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM100 ribu atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,

“Penahanan ini menunjukan terdapat kapal-kapal yang masih berdegil dan mencabar undang-undang negara,” ujarnya.

Tambahnya, APMM akan sentiasa memastikan kedaulatan dan keselamatan perairan negara terjamin dan terpelihara. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply