Home Pertahanan dan Keselamatan Ahmad Nazim dilantik Ketua Eksekutif LTAT baharu

Ahmad Nazim dilantik Ketua Eksekutif LTAT baharu

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 14 Jun – Datuk Ahmad Nazim Abdul Rahman dilantik sebagai Ketua Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang baharu berkuatkuasa 15 Jun 2021.

Beliau menggantikan Datuk Seri Amrin Awaluddin yang telah meletak jawatan pada 30 April lalu.

Peletakan jawatan itu berikutan pelantikan Amrin sebagai Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji yang baharu berkuatkuasa 6 Mei lalu.

Pengerusi LTAT, Jeneral (B) Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin berkata, LTAT mengalu-alukan kedatangan Ahmad Nazim untuk menerajui organisasi itu.

“Ahmad Nazim akan memainkan peranan penting dalam menerajui inisiatif transformasi serta memacu halatuju LTAT sebagai sebuah dana persaraan yang mampan dan berdaya saing,

“Kami juga yakin pengalaman luas beliau sebelum ini dalam sektor korporat dan pelaburan di beberapa pusat kewangan terkemuka dunia akan membawa perspektif baru bagi menjayakan pelaksanaan strategi transformasi bagi LTAT,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Nazim memiliki pengalaman professional selama 20 tahun dalam bidang pengurusan korporat, kewangan dan pelaburan.

Sebelum berkhidmat dengan LTAT, Ahmad Nazim bertugas sebagai Pengarah Urusan untuk Asia Tenggara bagi Allied Investment Partens yang beroperasi di Singapura dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Pelaburan MARA Bhd dari tahun 2013 hingga 2018 dan merupakan lembaga perintis National Bank of Abu Dhabi (Malaysia) Bhd.

Ahmad Nazim kini adalah lembaga pengarah Suruhanjaya Tenaga, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, Omesti Bhd dan Regulus Advisors Pte Ltd, sebuah dana ekuiti swasta yang berpangkalan di Singapura.

“Ahmad Nazim memegang sarjana dalam sarjana bidang ekonomi dan polisi awam dari Sciences Po, Perancis dan Sarjana Undang-undang serta pemegang anugerah J William Fulbright di Universiti Georgetown, Amerika Syarikat,

“Beliau juga merupakan graduan Sarjana Muda Undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM),” ujarnya.

Dalam kenyataan itu, Mohd Zahidi dan ahli Lembaga LTAT turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Ketua Pegawai Kewangan LTAT, Mohammad Ashraf Md Radzi atas khidmat serta sumbangannya ketika menanggung tugas sebagai Ketua Eksekutif sejak 3 Mei lalu selepas Amrin meletak jawatan. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply