SANDAKAN, 11 Jun – Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan telah menahan sebuah bot pam bersama 4 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk seorang kanak-kanak warga Filipina yang cuba menyelinap masuk ke Sabah secara haram dalam Operasi Benteng (Op Benteng) di perairan Pulau Nunuyan, semalam.
Pegawai Pemerintah Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sandakan , Deputi Superitendan Rusdin Banin berkata, penahanan yang dibuat padam jam 12 tengah malam semalam itu hasil pemerhatian anggota ronda yang mengesan sebuah bot mencurigakan yang bergerak laju masuk ke perairan negara.
“Hasil pemeriksaan mendapati, bot dikendali oleh lelaki warga asing berumur 50 tahun dan membawa seorang penumpang lelaki warga asing, wanita serta seorang kanak-kanak perempuan warganegara tempatan,
“Kesemua mereka berumur dalam lingkungan 9 hingga 20 tahun itu mengaku datang dari Filipina,” jelasnya dalam hantaran di laman sosial PPM Wilayah 4 Sabah.
Beliau berkata, juragan serta kesemua penumpang ditahan dan dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Sandakan untuk tindakan selanjutnya.
“Turut dirampas sebuah bot beserta enjin pum serta beberapa barang dan pakaian peribadi mereka,
“Tangkapan dan rampasan tersebut disiasat dibawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63,” tambahnya.
Dalam pada itu, Rusdin menyeru orang ramai untuk memberikan kerjasama dalam menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kehadiran PATI kepada PPM Wilayah 4 Sabah demi keselamatan dan kedaulatan perairan negara. -airtimes.my