Home Pertahanan dan Keselamatan PGA rampas syabu, pil kuda bernilai RM8.67 juta di Pasir Mas

PGA rampas syabu, pil kuda bernilai RM8.67 juta di Pasir Mas

by Bernama

PASIR MAS, 9 Jun – Batalion Ke-8 Pasukan Gerakan Am (PGA8) merampas 41 kilogram dadah jenis syabu dan 720,000 biji pil kuda bernilai RM8.6 juta hasil serbuan di sebuah rumah di Kampung Jeram Perdah, di sini, Isnin lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Datuk Kasuahdi Ali berkata rampasan dilakukan selepas sepasukan anggota PGA8 melakukan intipan selama empat jam di rumah tersebut.

Beliau berkata serbuan dilakukan pada jam 4.30 petang selepas seorang lelaki tempatan berusia 40-an memasuki rumah itu.

Katanya pemeriksaan di dalam rumah di bahagian dapur menemui lapan bungkusan plastik hitam di mana empat bungkusan mengandungi 41 kg dadah jenis syabu manakala empat lagi mengandungi 720,000 biji pil kuda.

“Kesemua dadah ini dipercayai dibawa masuk melalui negara jiran dah boleh digunakan oleh seramai 554,000 penagih.

Kita percaya dadah jenis syabu akan dihantar ke Kuala Lumpur, Selangor dah Johor manakala pil kuda untuk pasaran di Kelantan, Terengganu dan Pahang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, di sini hari ini.

Hadir sama, Komander Briged Tenggara PGA, SAC Hassan Basri Ahmad Safar, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan, ACP Sheik Azhar Sheik Omar dan Ketua Polis Daerah Pasir Mas, ACP Mohd Nasaruddin M Nasir.

Mengulas lanjut, Kasuahdi berkata suspek yang ditahan itu dikatakan baru sahaja dibebaskan daripada penjara pada 1 Jun lalu.

Katanya suspek juga dipercayai mempunyai dua kerakyatan kerana mempunyai rumah di negara jiran dan mempunyai dua rekod berkaitan dadah.

“Selain dadah, polis turut menyita sebuah kereta Proton Waja di rumah berkenaan dipercayai milik kumpulan penyeludupan dadah tersebut,” katanya.

Beliau berkata siasatan lanjut terhadap suspek masih dijalankan sama ada ia bertindak sebagai ‘pengangkut dadah’ atau dalang sindiket dadah.

Kasuahdi berkata suspek kini ditahan reman selama tujuh hari mulai 8 hingga 14 Jun ini untuk siasat lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Ini adalah kejayaan terbesar dilakukan oleh PGA8 pada tahun ini selepas kejayaan pada 22 Feb lalu dengan rampas dadah jenis syabu bernilai RM4.2 juta di Rantau Panjang, Pasir Mas,” katanya. – BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply