Home Pertahanan dan Keselamatan ATM aturgerak aset ke pendalaman bantu proses pemberian vaksin

ATM aturgerak aset ke pendalaman bantu proses pemberian vaksin

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 3 Jun – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mengaturgerak aset ke kawasan pendalaman bagi membantu kerajaan mempercepatkan dan melancarkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ATM akan menyediakan bas untuk masuk ke kawasan pendalaman bagi mengambil penduduk ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

“Kalau kawasan tersebut tidak boleh dimasuki, kita bersedia untuk membina khemah sementara bagi menghantar doktor serta paramedik ke kawasan pendalaman dibawah Program Jiwa Murni (PJM),

“Kita dengar kawasan pendalaman yang begitu jauh, terutama di Sarawak dan Sabah, mereka perlu menaiki bot dan sebagainya agak sukar, terutamanya kepada warga emas tidak mampu untuk keluar untuk mendapatkan vaksin kerana kedudukan mereka jauh,

“Jadi pihak tentera masuk ke kawasan tersebut, akan membina khemah dan sebagainya untuk proses vaksinasi di perkampungan mereka,” katanya pada sidang media sempena pelancaran sumbangan hospital modular ATM di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan, hari ini.

Beliau berkata, usaha ATM ini bagi mengurangkan bebanan penduduk dan untuk membolehkan rakyat keluar menerima vaksin.

“Ini sebagai menjamin rakyat kita, keseluruhannya akan mendapat vaksin dimana sahaja mereka berada termasuk di kawasan pendalaman yang tidak boleh dimasuki kenderaan pun, pihak tentera boleh sampai ke kawasan pendalaman mereka,

“Kalau tak boleh melalui bot, kita akan menggunakan helikopter untuk sampai ke penempatan mereka, bagi memastikan setiap rakyat menerima suntikan vaksin,” jelasnya. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply