Home Pertahanan dan Keselamatan Pencerobohan udara: Duta Besar China diarah beri penjelasan segera – Hishammuddin

Pencerobohan udara: Duta Besar China diarah beri penjelasan segera – Hishammuddin

by M.Daim

PUTRAJAYA, 1 Jun – Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini menyatakan pihaknya mengarahkan Duta Besar China untuk tampil memberikan penjelasan berhubung insiden pencerobohan di ruang udara Zon Maritim Malaysia (ZMM).

“Kita memanggil Duta Besar China untuk memberikan penjelasan berhubung pencerobohan 16 pesawat mereka yang menggugat keamanan dan kedaulatan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini.

Menurut Hishammuddin, beliau akan berhubung dengan rakan sejawatannya di China bagi menyampaikan pendirian Malaysia dalam isu ini.

“Pendirian kita adalah jelas – hubungan diplomatik mesra dengan mana-mana negara tidak sekali-kali bermaksud kita kompromi soal keselamatan,

“Malaysia berpendirian teguh untuk mempertahankan maruah dan kedaulatannya,” tegas Hishammuddin.

Beliau menambah, pihaknya akan mengeluarkan nota protes melalui saluran diplomatik kepada China.

Terdahulu, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad TUDM mengesahkan insiden pencerobohan ruang udara oleh 16 buah pesawat China di ZMM berlaku pada 31 Mei 2021.

Menurut beliau, Tentera Udara Diraja Malaysia telah mengerahkan pesawat Hawk dari No. 6 Skuadron untuk memintas dan mengusir pesawat terbabit ketika cuba memasuki ruang udara nasional negara. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply